Minggu, 03 November 2013

Pendidikan Sivik di Malaysia


Pendidikan Kewarganegaraan dalam Mengembangkan Kecekapan Sivik:
Sebuah Perkongsian Pengalaman

Oleh:
Profesor Madya Dr. Rohizani Yaakub
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan,
Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang
(dikutip dari prosiding seminar internasional pendidikan kewarganegaraan, laboratorium pendidikan kewarganegaraan UPI)

Adalah menjadi kelaziman bagi mana-mana negara di dunia ini yang menjadikan sistem pendidikan sebagai alat untuk menghasilkan warga negara yang diingini. Malaysia juga tidak terkecuali. Bagi memandu ke arah merealisasikan matlamat tersebut, sebuah pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dihasilkan pada tahun 1988. Falsafah ini dengan jelas telah menggariskan bahawa sistem pendidikan malaysia harus mampu melahirkan warga negara yang seimbang daripada segala aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek yang mempunyai kepercayaan yang teguh kepada Tuhan.
Falsafah tersebut diterjemahkan menjadi Dasar Pendidikan Kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1991: 1), dan matlamat pendidikan kebangsaan ialah untuk:
  • melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatupadu
  • melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera
  • menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan kemajuan negara
  • memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warga negara Malaysia

Sesuai dengan matlamat tersebut, sebuah kurikulum kebangsaan yang mengintegrasikan semua elemen yang berkaitan telah digubal. Salah satu daripada mata pelajaran yang mempunyai objektif menggalakkan kecekapan sivik dalam kalangan murid ialah mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Menelusuri sejarah pendidikan sivik di Malaysia, laporan Razak (1956) telah menggariskan bahawa mata pelajaran sivik sangat perlu dijadikan sebagai satu mata pelajaran wajib untuk memberi latihan kewarganegaraan dengan menegaskan perpaduan kaum (Zahara Aziz, 1985). Berdasarkan perakuan tersebut dan keperluan semasa, pendidikan sivik sebagai satu mata pelajaran telah mula diperkenalkan pada tahun 1972 (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009). Perkara ini diteguhkan lagi oleh laporan jawatankuasa kabinet (1979) yang sekali lagi memberi keutamaan kepada mata pelajaran pendidikan sivik dengan pernyataan bahawa objektif utama pendidikan sivik ialah menyemai, menanam dan memupuk semangat cintakan negara. Namun, disebabkan tuntutan kemajuan sains dan teknologi yang mementingkan pemerolehan ilmu pengetahuan, maka mata pelajaran pendidikan sivik telah dikeluarkan daripada kurikulum persekolahan bagi memberi laluan kepada mata pelajaran kritikal yang lain pada tahun 1982.

Walau bagaimanapun, setelah dilakukan semakan semula kurikulum, dan dengan keperluan semasa, maka sekali lagi mata pelajaran pendidikan sivik dijadikan mata pelajaran wajib bermula pada tahun 2005. Namun, kali ini pendidikan sivik telah diberi jenama baru dan dikenali sebagai mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Mata pelajaran ini telah diperkenalkan semula secara berperingkat-peringkat, yaitu bermula dengan tahun 4 di peringkat sekolah rendah dan tingkatan 1 di peringkat sekolah menengah. Dengan itu, pada tahun 2009 semua murid sehingga tingkatan 5 telah mempelajari mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebagai satu mata pelajaran wajib di sekolah.

Matlamat utama mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah untuk memberi kesadaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggung jawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warga negara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara, dan dunia (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008).

Terdapat tiga objektif utama yang ingin dicapai melalui pembelajaran mata pelajaran ini yaitu mencakupi objektif pengetahuan, objektif kemahiran, dan objektif nilai. Objektif pengetahuan mencakupi pemerolehan ilmu berkaitan peranan dan tanggung jawab individu sebagai warga negara terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara. Objektif kemahiran memberi kecekapan mendisiplinkan diri dalam setiap individu supaya dapat bertindak ke arah pembangunan masyarakat dab negara. Objektif nilai pula merangkumi usaha memupuk warga negara yang boleh bertindak berdasarkan pengetahuan dan kemahiran sivik yang dipelajari. Hal ini termasuklah melahirkan individu yang sentiasa bersyukur dan berbangga menjadi warga negara Malaysia, sebuah negara berdaulat.

1 comments:

Anonim mengatakan...

excuseme, can I have the original Prosiding, pdf for example, I need it for my action research...thank you..